Sunday, July 19, 2009

Menentu Hala Tuju Finalis AF7


Seperti biasa, setiap kali tamatnya konsert akhir Akademi Fantasia (AF), nama-nama finalisnya akan diagung-agungkan. Percaya atau tidak apabila munculnya rancangan baru program itu, maka sedikit demi sedikit mereka yang sudah bergelar bekas pelajar akan dilupakan.

Cuba fikirkan sejak AF1 diperkenalkan pada tahun 2003, tidak semua yang menyertai program berkenaan berjaya mencipta nama. Yang ada hanya boleh dikira dengan jari.

Ke mana hala tuju mereka yang lain? Adakah masih aktif ataupun berkubur sedikit demi sedikit?

Malah Mawi yang dicungkil menerusi AF3 juga dilihat sedang mengalami zaman kejatuhan apabila popularitinya menurun secara mendadak.

Ini berpunca daripada kemunculan artis daripada program realiti televisyen yang tidak dapat dikawal lagi. Finalis AF7, iaitu Hafiz, Aril, Akim, Yazid dan Isma harus bersedia berkemungkinan mereka akan menempuh hari-hari suram sekiranya AF8 muncul pada tahun hadapan.

Pada hari ini setiap daripada mereka hendaklah melakukan sesuatu agar nama dan populariti yang dibawa itu tidak terus tenggelam begitu sahaja.

Di manakah hala tuju mereka sejak melangkah keluar dari pentas AF7 pada 16 Mei lalu?

Hafiz yang merupakan juara pertandingan berkenaan mengakui dia bimbang saat-saat gelap iaitu menurunnya popularitinya dalam bidang seni.

Malah kata Hafiz hasratnya ialah mahu melihat dia mampu mengekalkan kehebatannya sekurang-kurangnya sehingga sepuluh tahun akan datang. Dan sebagai pendatang baru, jejaka ini mempunyai satu perancangan untuk mempertahankan popularitinya itu.

"Perkara pertama yang Hafiz lakukan ialah menjaga tingkah laku selain memastikan tidak ada perkara negatif dalam hidupnya berlaku," kata Hafiz selepas pelancaran albumnya Masih Jelas Selasa lalu, yang turut menampilkan empat finalis AF7 yang lain.

Hafiz melihat dia mahu mengembangkan bakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian sebaliknya dalam bidang lakonan seperti yang dipelajarinya ketika berada di dalam pentas Akademi Fantasia dulu.

Dalam masa yang sama dia juga berjanji untuk meneruskan pelajarannya yang perlu dihabiskan kira-kira setahun setengah lagi di kolej PPTL, Sarawak.

Mengambil jurusan pengurusan pelancongan dan hospitaliti, Hafiz berjanji dengan adanya pelajaran ia akan dapat menjamin kejayaan seseorang artis itu agar menjadi lebih baik.

"Apa-apa pun Hafiz mahu buktikan Hafiz boleh berjaya dalam bidang pelajaran terlebih dahulu. Jika ada apa-apa yang tidak diingini berlaku dalam bidang seni, kita ada kelulusan yang dapat membantu," katanya.

Bagi Aril pula, perancangan pihak Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) membantunya mengatur masa depan yang baik selepas dua bulan bergelar artis.

Cuma jejaka ini bimbang industri seni yang semakin menguncup membuatkan tidak semua artis mampu meneruskan dalam bidang seni.

"Saya yakin pihak AESB mempunyai strategi mereka untuk memastikan finalis AF7 ini mempunyai perancangan masa depan mereka.

"Ketika nama masih diingati inilah peluang yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemampuan dalam bidang seni supaya ia semakin baik," kata pemenang tempat kedua AF7 ini.

Sementara bagi pemenang tempat ketiganya iaitu Akim, kepuasan pendengar adalah permulaan jika mahu mengekalkan kehebatannya sebagai bekas pelajar AF.

Kata remaja berasal dari Johor ini, dia akan membuktikan dirinya mempunyai tarikan yang berbeza berbanding orang lain.

"Perancangan awal saya untuk pastikan ada album sendiri dulu sebelum meneruskan perancangan lain yang masih panjang jaraknya," katanya.

Mengakui bukan mudah bergelar artis, hasrat Akim bukan untuk mengejar populariti sebaliknya dia mahu mempamerkan idea-idea baru setelah bergelar penyanyi.

Mendapat tempat keempat bukanlah kedudukan yang selesa tetapi Yazid tidak menganggap ia melemahkan semangatnya.

Walaupun begitu Yazid perlu bekerja kuat dan merebut segala peluang yang ada untuk berjaya.

"Apa yang saya nampak, saya tidak perlu memilih setiap peluang yang diberikan. Itulah caranya untuk saya meningkatkan prestasi saya ini," katanya.

Jelas Yazid lagi buat masa ini dia hanya mengikut perancangan pihak AESB bagi memastikan dia mendapat gambaran sebenar dunia hiburan ini.

Sebagai peserta yang mendapat tempat tercorot, Isma tidak mahu bergantung kepada syarikat pengurusannya sahaja sebaliknya dia beranggapan perlu melakukan sesuatu selepas memilih bidang ini sepenuh masa.

Menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai suami yang merupakan seorang komposer popular iaitu Zul (2 By 2), Isma yakin kelebihan itu mampu membantunya meningkatkan lagi prestasinya sebagai penyanyi.

"Saya bertuah kerana ada suami yang mahir dalam bidang seni. Dengan kelebihan itu saya nampak ia boleh membantu saya untuk berjaya," ujarnya.

Tidak berasa tersisih, Isma yakin masa depannya akan lebih terjamin apabila dia sendiri yang menentukan arah tuju itu secara berperingkat.

No comments: