GEGAK gempita Stadium Nasional, Bukit Jalil bergemuruh dalam satu suara menjulang wira Malaysia, Amri Yahyah yang menewaskan penjaga gol tersohor, Edwin Van der Sar dan Ben Foster untuk mencetus gentar Manchester United sebelum kecundang 3-2 kepada juara Liga Perdana Inggeris itu dalam pembukaan Jelajah Asia 2009.
Sungguh pun diletakkan sebagai gergasi dunia, barisan Sir Alex Ferguson dimalukan oleh dua gol Amri - anak kelahiran Tanjung Karang pada minit ke-45 dan 53 ketika ramai menyangka akan dilumat habis-habisan oleh pelawat perkasa itu berpandu kepada kunjungan terakhir pada 2001 berakhir dengan kekalahan 6-0.
Tanpa disangka, Malaysia yang dihimpit dalam kotak penalti sejak sepak mula oleh United, berjaya mendapatkan gol yang didahagakan barisan anak buah K Rajagopal apabila Amri akhirnya membuktikan diri sebagai pemain tengah berwibawa negara dengan membuat tindakan bijak ketika melihatkan Van der Sar terkeluar daripada posisinya.
Amri yang menampilkan prestasi baik untuk menjulang Selangor ke persada Liga Super, namun gagal menterjemahkannya dalam dua pemanas badan menentang Zimbabwe sebelum ini melakukan lambungan menakjubkan melepasi penjaga gawang Belanda itu pada penghujung saingan babak pertama untuk menggamatkan 100,000 penyokong dengan tiga perempatnya berbaju merah.
Tonggak tengah itu kemudian membuktikan ia bukan tuah semata-mata apabila memintas hantaran belakang Darron Gibson kepada Ben Foster yang dimasukkan menggantikan Van der Sar pada babak kedua untuk menolak masuk, sekali lagi menggamatkan kapasiti penuh di Bukit Jalil.
AMRI dipeluk rakan sepasukan selepas gol untuk Pilihan Malaysia ketika menentang Manchester United dalam aksi 'Jelajah MU 2009' di Stadium National, Bukit Jalil, petang semalam. |
United membuka tirai jaringan menerusi Wayne Rooney seawal minit kelapan dengan gol kedua pelawat menyusul minit ke-27 hasil sumbangan Nani.
Michael Owen yang menggantikan Rooney muncul wira dan membuktikan pelaburan dibuat oleh Ferguson ke atasnya berbaloi dengan jaringan kemenangan enam minit sebelum perlawanan tamat.
MANCHESTER United, semalam memutus kan untuk melanjutkan tempoh persinggahan mereka di Kuala Lumpur sehingga Rabu ini dengan mengatur perlawanan ulangan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 8 malam, esok.
Harga tiket RM308 untuk tempat duduk utama dan RM58 tempat terbuka.
Tiket mula dijual di kaunter ‘pintu hijau’ Stadium Nasional bermula 12 tengahari ini.
Perkembangan terkini itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam selepas perlawanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif United, David Gill, berkata selepas keputusan membatalkan kunjungan ke Indonesia, pasukan itu mengambil keputusan kekal di negara ini selepas amat berpuas hati dengan persiapan Malaysia.
“Kami terpaksa menolak rayuan Indonesia berikutan isu keselamatan sejajar dengan keputusan yang sudah dibuat kelmarin. Kami juga mengetepikan pelawaan Australia kerana terlalu sukar menguruskan aspek logistik pada saat akhir,” katanya pada sidang akhbar khas, semalam.
MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mohd Asraruddin Umar (Mohd Azmi Muslim), Norhafiz Zamani Misbah (kapt) (K Gurusamy), Mohd Aidil Zafuan, Mazlizam Mohd (V Thirumurugan), Safiq Rahim (Mohd Sabree Mat Abu), Amar Rohidan (Mohd Bunyamin Omar), Indra Putra Mahyuddin (Badrol Bakhtiar), Mohd Amri Yahyah, Mohd Khyrill Muhymeen, Zaquan Adha (Norshahrul Idlan Talaha)
MAN UNITED: Edwin Van der Sar (Ben Foster), Patrice Evra, Rio Ferdinand (West Brown), Anderson (Ryan Giggs), Dimitar Berbatov (Ferico Macheda), Wayne Rooney (Michael Owen), Nani, Paul Scholes (Zoran Tosic), John O Shea, Jonny Evans, Darron Gibson
No comments:
Post a Comment